
TAWAU – Polis Daerah Tawau menahan dua lelaki dan dua wanita kerana disyaki mencuri barang kemas milik seorang lelaki di Jalan OKK Abu Bakar di sini, pada Selasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin pihaknya sebelum ini menerima laporan seorang lelaki berusia 31 tahun mengenai barang kemas yang diletakkan di dalam keretanya telah hilang dicuri oleh individu tidak dikenali pada 1 Oktober lepas.
Jelasnya, anggaran kerugian lebih kurang RM45,000.
Katanya lagi, pemeriksaan lanjut oleh mangsa mendapati seutas gelang tangan emas, seutas rantai emas dan sebiji buah rantai emas telah dicuri.
“Suspek pertama 42 tahun ditahan pada jam 6.00 pagi tadi di tepi Jalan Kampung Pukat, Tanjung Batu Laut dan hasil soal siasat membawa kepada tangkapan suspek kedua seorang wanita berusia 30 tahun pada pukul 1.30 petang di Hospital Tawau.
“Sementara itu, polis turut menahan suspek ketiga iaitu seorang wanita berusia 28 tahun di Kampung Pukat, Jalan Tanjung Batu Laut kira-kira pukul 3.00 petang.
“Susulan tangkapan tersebut, seorang lagi suspek lelaki berusia 32 tahun ditahan di sekitar Hospital Tawau pada pukul 6.00 petang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.






