
PUTRAJAYA – Bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan ditahan polis awal pagi tadi susulan soalan kontroversi dalam satu wacana awam, Isnin lalu.
Tan, 31, yang meletak jawatan pagi semalam ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Peguamnya, Rajsurian Pillai mengesahkan Tan ditahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dengan siasatan difahamkan dikendali Bukit Aman, lapor Malaysiakini.
Forum bertajuk ‘Gaza Exposes the Complicity of International Actors’ itu menampilkan ahli politik Britain, George Galloway.
Susulan kecaman meluas di media sosial, Tan tampil memohon maaf secara terbuka, menyifatkan soalannya ‘tidak disusun dengan baik’.
Dia juga mengakui gagal ‘mengambil kira kesesuaiannya dengan wacana itu’ serta dikemukakan tanpa pertimbangan mencukupi terhadap sensitiviti isu terbabit.
“Paling saya kesali tindakan menyentuh soal hubungan kaum Cina dan Melayu, sesuatu yang sama sekali tidak perlu dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Tan turut mengakui beliau gagal memenuhi tahap profesionalisme diharapkan daripada seorang wartawan dan merayu orang ramai tidak menyerang FMT Media serta ahli keluarganya.





