KUCHING – Polis Sarawak berjaya menangkap dua suspek dalam operasi khas yang dilancarkan di Sentosa Parade, Batu 7, Jalan Kuching-Serian dan Taman Kitang One, Padawan.
Menurut kenyataan rasmi Pesuruhjaya Polis Sarawak CP Dato Mancha Ata, suspek terdiri daripada seorang lelaki berusia 53 tahun dan seorang wanita berusia 23 tahun.
“Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” kata beliau.
Menurut beliau, pihak polis berjaya merampas 33 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM1,056,000.
“Selain itu, dua buah kereta bernilai RM63,000 turut dirampas,” tambah beliau lagi.
Jelas beliau, modus operandi sindiket ini adalah menyimpan dadah di rumah dan menyerahkannya kepada pembeli mengikut arahan ketua sindiket di Kuching.
“Sebagai upah mengedar dadah, suspek menerima upah sebanyak RM100 sehari,” kata beliau lagi.
Dua suspek tersebut ditahan reman selama enam hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Polis Sarawak menggesa orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui hotline JSJN di talian 012-2087222.






