
KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka diambil keterangan berkaitan isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen pada pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri, pagi esok.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, keterangan itu akan dirakam di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) jam 11 pagi.
“Pihak polis akan merakam keterangan beliau pagi esok.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan,” katanya.
Razarudin berkata, setakat ini sebanyak 30 laporan polis diterima berhubung ucapan Muhyiddin yang didakwa menyentuh isu 3R ketika berkempen pada PRK Nenggiri.
Sebelum ini, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang dilihat secara sengaja dan sinis mempertikaikan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berjanji memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjelaskan fakta berkaitan kenyataan dikeluarkan.
Beliau bagaimanapun percaya kenyataan yang dikeluarkan itu tidak melanggar undang-undang negara.