
KUALA LUMPUR – Sentimen pasaran yang positif berikutan prestasi ekonomi negara memberangsangkan sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024 memacu Indeks FBM KLCI mencecah paras tertinggi hampir empat tahun, kata penganalisis.
Pada jam 5 petang, indeks penanda aras itu ditutup 24.80 mata lebih tinggi kepada 1,648.70, paras tertinggi sejak Disember 2020 selepas memulakan sesi dagangan Isnin pada paras 1,625.14 mata.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, FBM KLCI ditutup tinggi secara mendadak dengan belian kukuh dalam saham perbankan.
Pada masa sama, beliau berkata, pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) meningkatkan sentimen pelabur.
Katanya, indeks serantau utama, terutamanya dalam pasaran baharu muncul, ditutup lebih tinggi apabila mata wang utama Asia mencapai paras tertinggi dalam tempoh tujuh bulan.
Ia juga didorong jangkaan pengurangan kadar Rizab Persekutuan AS pada September, serta persekitaran domestik yang lebih menggalakkan, meningkatkan sentimen serantau.
“Bagi bursa tempatan, kami optimis mengenai sentimen pasaran yang bertambah baik dirangsang oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2024 yang kukuh sebanyak 5.9 peratus.
“FBM KLCI meneruskan trajektori meningkatnya, menguji paras 1,650, yang adalah titik rintangan psikologi dan teknikal yang ketara,” katanya kepada Berita Harian bagi mengulas prestasi pasaran saham tempatan yang memperlihatkan Indeks FBL KLCI mencecah paras tinggi hampir empat tahun.
Mengulas lanjut, Pak Leng berkata, indeks penanda aras kini jauh di atas purata pergerakan 20 hari dan 50 hari, kedua-duanya telah meningkat ke atas, menandakan arah aliran menaik yang kukuh.
Beliau berkata, purata bergerak eksponen (EMA) 20 hari bertindak sebagai sokongan dinamik, memantapkan pengukuhan rali semasa.
Katanya, paras rintangan segera adalah pada 1,650 diikuti oleh 1,660.
“Jika indeks boleh melepasi paras itu, ia boleh menunjukkan potensi peningkatan yang lebih jauh. Oleh itu, kami menjangkakan corak aliran FBM KLCI dalam julat 1,630 hingga 1,660 untuk minggu ini,” katanya.
Sementara itu, ringgit juga mengukuh berbanding dolar AS dengan mencecah paras RM4.38 sedolar, paras tinggi yang dilihat sejak awal 2023.