KUANTAN – Polis Pahang menerima sumbangan 1,000 kotak makanan MADANI Prihatin berisi barang keperluan asas seperti beras, minyak masak dan gula, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, sumbangan kotak makanan dianggarkan bernilai RM100 itu disalurkan kepada beberapa kategori penerima, termasuk pesara polis.
Katanya, kotak makanan berkenaan turut disampaikan kepada pesakit kronik, pengantin baharu, ibu atau bapa tunggal, balu dan orang kurang upaya.
“Golongan asnaf, pesakit terlantar, mualaf, keluarga yang mempunyai lima anak atau lebih, individu berpendapatan di bawah kadar purata 40 peratus serta pekerja pembersihan turut menerima sumbangan ini.
“Kepada penerima, gunalah barangan disediakan secara berhemah dan penuh syukur serta elakkanlah sebarang pembaziran kerana setiap rezeki yang dikurniakan ini adalah hasil keprihatinan dan kasih sayang daripada mereka yang sudi membantu,” katanya, lapor Berita Harian.
Azry Akmar berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan kotak makanan MADANI Prihatin di Dewan Badminton, Kompleks Logistik Alor Akar di sini.
Sumbangan itu disampaikan Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Dr Sim Chon Siang yang mewakili Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi.







