
KOTA KINABALU – Seramai 219 mangsa banjir dan tanah runtuh di Sabah baru-baru ini, menerima sumbangan dari Kementerian Komunikasi.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, bantuan itu bukan sahaja bertujuan meringankan beban mangsa tetapi juga memberi peluang kepada pihak kementerian untuk mendengar secara langsung isu-isu yang dihadapi.
“Sebagai contoh, ada yang berdepan masalah tanah dan pergerakan tanah yang berlarutan.
“Saya akan minta supaya isu-isu ini dikumpulkan untuk disampaikan kepada pihak berwajib agar tindakan segera dapat diambil,” katanya semasa ditemui media selepas Program Bantuan Pasca Banjir: Ihsan Komuniti MADANI di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini pada Jumaat.

Jelasnya, beliau akan memberi taklimat kepada Perdana Menteri sebaik sahaja tiba di Kota Kinabalu pada petang ini.
“Kami akan buat beberapa lawatan ke lokasi-lokasi yang terkesan akibat banjir dan tanah runtuh baru-baru ini,” katanya.
Dalam program itu, seramai 59 orang warga jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi menerima bantuan ihsan tersebut.
Turut menerima, 160 orang ahli Komuniti MADANI di daerah Penampang, Beaufort, Kota Kinabalu, Papar dan Tuaran.








