
KUANTAN – Polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang dari rumahnya dekat sini, sejak kelmarin.
Nurul Misha Najuwa Zulkarnain, pelajar Tingkatan Empat di sebuah sekolah menengah di bandar raya Kuantan kali terakhir dilihat sekitar jam 2.50 petang pada hari kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, kehilangan mangsa disedari ahli keluarganya sebelum laporan dibuat semalam.
“Mangsa memakai T-shirt putih kuning, seluar trek hitam dan membawa beg galas hitam ketika dilaporkan hilang,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kehilangan remaja itu dipercayai mempunyai kaitan dengan keengganannya meneruskan persekolahan.
“Usaha mencari dan mengesan mangsa sedang giat dijalankan bagi memastikan keselamatannya,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat mangsa diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di talian 09-5652089.