
TUARAN – Polis giat mengesan pemandu kenderaan yang dipercayai terlibat dalam insiden menggilis penunggang motosikal di Kampung Kaung Lapai, Jalan Tamparuli-Ranau, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin Ag Maidin berkata, dalam kejadian pukul 11.20 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dipercayai terbabas sebelum digilis sebuah kenderaan lain.
”Siasatan awal mendapati, identiti serta nombor pendaftaran kenderaan yang menggilis mangsa masih belum dapat dipastikan dan mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
”Beberapa individu juga telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil ke Balai Polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, Inspektor Haffiz di talian 011-61600964.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.




