TAPAH – Perikatan Nasional (PN) dilihat terdesak untuk mencari kelemahan kerajaan negeri untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning sehingga sanggup menggunakan isu ladang babi yang terletak di luar kawasan pilihanraya untuk dijadikan modal politik.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad turut menyifatkan pembangkang terdesak, semata-mata untuk menghakis keyakinan pengundi.
Menurutnya, sikap pembangkang ketika ini bukan sahaja menunjukkan mereka ketandusan isu, sebaliknya boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan rakyat.
“Bila dia (PN) mahu politikkan perkara ini (babi) dia cari sampai dapat, termasuklah melawat kawasan di luar DUN Ayer Kuning. Melaratlah lepas ini, pergi cari jalan rosak sampai ke Lenggong.
“(Akan) bangkitlah, kerajaan Perak, jalan rosak di Lenggong walaupun yang mengundi di Ayer Kuning sahaja. Dia akan cuba bangkitkan kemarahan, kebencian dan rasa tak puas hati dalam kalangan rakyat,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri program seminar keibubapaan di Sekolah Menengah Sains Tapah, pada Rabu.

Mengulas lanjut Saarani yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak mengakui pihaknya tidak mempunyai autoriti untuk mengesahkan sama ada air sungai terbabit tercemar termasuk tidak boleh digunakan untuk mengambil wuduk.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada pihak berwajib, termasuk abatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat siasatan terperinci terhadap dakwaan pembangkang.
“Biarlah jabatan kerajaan bertanggungjawab (lakukan siasatan termasuk ujian makmal), yang boleh mengesahkan kandungan itu cukup syarat ke tak cukup syarat ke nak ambil wuduk bukan saya, biar jabatan agama Islam negeri siasat, cuma jangan politikkan sahaja,” katanya.
Terdahulu, PN mengadakan sidang media khas mengenai babi pada Rabu, kononnya mereka akan mendedahkan berita penemuan tergempar termasuk beberapa bukti berkaitan.
Namun sebaliknya berlaku apabila sidang media itu hanya mendedahkan beberapa pencemaran terkait ladang babi di Kampung Poh.
Apabila ditanya adakah ladang babi itu memiliki lesen atau tidak, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad menjawab pihak mereka tidak dapat mengesahkan perkara itu.
Sebelum ini, penduduk di Kampung Tanjung Keramat menafikan terdapat ladang babi beroperasi di kawasan tersebut, seperti didakwa oleh Ketua Pemuda PN Perak, Hafez Sabri.
Berdasarkan pemerhatian The Malaysia Press (TMP), tiada ladang babi haram yang wujud di kampung tersebut, malah industri hiliran itu menggunakan sistem penternakan moden dan berhawa dingin selain ditempatkan sejauh kira-kira tiga kilometer dari penduduk setempat.
Malah, rata-rata penduduk menyangkal dakwaan Idris bahawa ladang babi berlesen itu menyebabkan penduduk Ayer Kuning terpaksa berdepan bau busuk setiap hari.






