
DATUK Seri Anwar Ibrahim menyuarakan harapan agar Kanada dapat mempertimbangkan semula pengecualian visa kepada rakyat Malaysia.
Perdana Menteri berkata, ia selaras dengan layanan yang diberikan kepada negara-negara Komanwel lain demi memperkukuh hubungan antara rakyat dan memperluas pertukaran pelbagai hala.
Menurut Anwar, perkara itu antara yang dibangkitkan beliau ketika menghubungi Perdana Menteri Kanada, Mark Carney untuk mengucapkan tahniah atas kemenangan Parti Liberal dalam Pilihan Raya Kanada baru-baru ini, dalam sela waktu lawatan rasmi beliau ke Paris ketika ini.
“Malaysia kekal komited untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Kanada merangkumi pelbagai bidang strategik seperti perdagangan dan pelaburan, kerjasama pertahanan, tenaga bersih, transformasi digital serta teknologi baharu.
“Dalam masa sama, saya turut menyambut baik penglibatan berterusan Petronas dalam projek LNG Canada,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, projek terbabit merupakan simbol kukuh kerjasama tenaga antara kedua-dua negara dan berpotensi menjadi pemangkin kepada inisiatif hijau dan peralihan tenaga masa depan.
“Sebagai anggota CPTPP (Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik), Malaysia dan Kanada berkongsi tekad dalam memperjuangkan prinsip perdagangan bebas, terbuka dan berasaskan multilateralisme yang adil serta inklusif,” katanya.
Tambah Anwar, beliau dan Carney juga menegaskan kepentingan memperkukuh Perkongsian Strategik ASEAN-Kanada, dan berharap rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada dapat dimuktamadkan secepat mungkin demi manfaat bersama.
“Saya turut menjemput PM Carney untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memperkukuh ikatan persahabatan antara kedua-dua negara,” katanya.
Anwar dijadual mengadakan pertemuan bersama Macron di Istana Élysée, dengan beberapa agenda utama termasuk perdagangan, pelaburan, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, pertahanan, pendidikan, ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI) dijangka dibincangkan.
Kedua-dua pemimpin juga dijangka membincangkan krisis di Asia Barat khususnya berkaitan krisis kemanusiaan di Gaza.
Selepas lawatan ke Perancis, Anwar akan berlepas ke Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS yang akan berlangsung esok sehingga Ahad.