PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah tahniah dan menjunjung kasih sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pada hari yang penuh bersejarah ini.
Dalam kenyataan rasmi, beliau mewakili Kerajaan Perpaduan dan seluruh rakyat Malaysia, mendoakan agar Seri Paduka Baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dan seluruh kerabat diraja terus dikurniakan rahmat, kesihatan, kekuatan serta memayungi negara dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.
Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan atas kepimpinan Baginda yang menjadi tonggak panduan dalam pembentukan dasar negara, menjunjung aspirasi rakyat, dan memperkukuh kesejahteraan semua lapisan masyarakat.
Anwar menyatakan bahawa biarpun dunia kini berdepan cabaran geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia tetap teguh dengan pelaksanaan strategi menyeluruh dalam melindungi kepentingan industri, perniagaan dan kebajikan rakyat.
Beliau turut menekankan kejayaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini serta penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN dan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) sebagai bukti keupayaan negara di persada antarabangsa.
“Sidang Kemuncak ASEAN pada kali ini adalah yang terbaik dalam sejarah ASEAN, tatkala buat julung kalinya Malaysia sebagai Pengerusi berjaya mempertemukan tiga benua gergasi, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China dan ASEAN, dalam usaha menjamin kelangsungan tamadun dan menyemarakkan ekonomi rakyat serta negara,” katanya.
Menurut beliau, semangat kerja berpasukan yang dizahirkan dalam kejayaan Sidang Kemuncak tersebut serta penganjuran LIMA membuktikan keutuhan jentera kerajaan, swasta, pasukan keselamatan dan rakyat dalam menjayakan hasrat negara.
Anwar turut menyuarakan keyakinan bahawa Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh jati diri kebangsaan menerusi warisan, budaya dan semangat kekitaan rakyat Malaysia.
Perdana Menteri menegaskan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk meneruskan agenda reformasi menyeluruh berpaksikan prinsip MADANI, meliputi pembangunan seimbang antara kebendaan dan nilai kemanusiaan, pemerkasaan ekonomi rakyat, serta pembangunan prasarana dan perkhidmatan awam.
“Pembangunan tidak hanya tertumpu pada projek mega seperti ECRL dan JSEZ, malah merangkumi sekolah yang diperbaiki, hospital yang dinaik taraf dan pengangkutan awam yang dipertingkat. Rakyat bukan sekadar dijanjikan harapan, tetapi dibela secara nyata dan berterusan,” ujarnya.
Anwar menambah, strategi peningkatan pendapatan rakyat turut diperkasa melalui pelaburan berkualiti tinggi, sokongan kepada usahawan kecil dan sederhana, serta pengukuhan teknologi dan inovasi tanpa mengira kaum atau latar budaya.
Mengulas mengenai keharmonian negara, beliau menegaskan bahawa kestabilan dan perpaduan nasional merupakan prasyarat kemajuan yang mesti terus diperkasa agar tiada rakyat terpinggir dalam perjalanan menuju masa depan lebih gemilang.
Mengakhiri kenyataan, Perdana Menteri menyatakan penghormatan tinggi kepada Baginda sebagai lambang penyatuan dan keluhuran negara, sambil menyeru seluruh rakyat menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada institusi diraja.




