KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pelukis komik legenda Malaysia, Rizalman yang telah meninggal dunia pada usia 76 tahun, pagi tadi.
Perdana Menteri melalui hantaran laman Facebook miliknya itu turut menyifatkan Rizalman atau nama sebenarnya Mohamad Razali Osman, mempunyai jasa yang cukup besar dalam industri lukisan dan perusahaan komik, di negara ini.
Menurutnya, ketika industri komik masih di peringkat awal pada tahun 70-an, Rizalman sudah menerbitkan komik yang popular dan berjaya seperti Bujal, Salina dan Bambino, selain banyak menghasilkan komik bercorak masyarakat dan penyiasatan.

“Beliau juga turut menyumbangkan komik kepada Utusan Pelajar sekitar 1970-an, serta akhbar-akhbar utama termasuk Mingguan Malaysia.
“Mendoakan Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham dan ruhnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.
Mohamad Razali Othman telah mencipta nama sebagai pelukis komik sejak tahun 1970 di bawah syarikatnya Raz Studio.
Beliau popular dengan majalah bulanan kanak-kanak nombor satu pada masa itu iaitu BUJAL di samping itu beliau menerbitkan majalah SALINA yang mensasarkan pembaca remaja.








