
DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini meninjau persiapan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Ketibaan Perdana Menteri pada jam 3.30 petang disambut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Anwar turut melawat Pusat Latih Amal Keselamatan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Hari ini adalah hari kedua sesi latihan diadakan susulan langkah Majlis Keselamatan Negara mengaktifkan Pasukan Pengurusan Krisis bersama agensi keselamatan bagi mengukuhkan pertahanan, keselamatan negara dan ketenteraman awam sepanjang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Sesi latihan itu merangkumi tiga fasa iaitu Simposium Diplomat Minda yang diadakan semalam diikuti Table Top Exercise (TTX) iaitu perbincangan secara simulasi yang berlangsung hari ini sebelum disusuli Field Training Exercise (FTX) iaitu simulasi serta demonstrasi esok.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok itu bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi selain memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.