PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Ketua Setiasausaha Negara (KSN) baharu, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, Anwar berkata, pertemuan pada hari ini adalah untuk menyampaikan amanat kepada Shamsul Azri dalam menjalankan tugas berkaitan dasar-dasar kerajaan demi ksejahteraan rakyat.
“Saya sampaikan amanat supaya beliau menjunjung tinggi prinsip tatakelola dalam menggalas amanah dan perlu bekerja keras untuk memastikan dasar-dasar kerajaan berjalan dengan baik untuk memastikan kemakmuran rakyat dan negara.
“Perbincangan kami turut menyentuh mengenai struktur gaji baharu penjawat awam yang bakal diumumkan ketika Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) dan dalam pembentangan Belanjawan 2025, Insya-Allah,” katanya di Facebook pada Isnin.
Pelantikan Shamsul Azri sebagai KSN baharu diumumkan melalui kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada 7 Ogos lalu, menyebut pelantikan itu berkuat kuasa 12 Ogos ini bagi menggantikan Mohd Zuki yang bersara wajib berkuat kuasa 10 Ogos.




