
DALAM terkial-kial memberi penjelasan, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tetap menerima permohonan maaf Meta berhubung tindakan mereka memadam hantaran Facebook miliknya berkenaan ucapan takziah kepada pemimpin Hamas Ismail Haniyeh yang terbunuh.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, wakil Meta itu tidak mampu memberi penjelasan semasa pertemuan dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam.
“Saya lihat apabila mereka hadir semalam, mereka tidak bersedia untuk menjawab isu teknikal yang dibangkitkan.
“Apabila dibangkitkan oleh PMO, barulah mereka terkial-kial mencari maklumat tersebut.
“Jadi saya melihat mereka yang hadir semalam, mungkin ada sesetengah keputusan melebihi bidang kuasa mereka. Saya tidak salahkan mereka. Saya salahkan mereka yang menghantar mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini.
Dua hari lalu, Meta, dalam satu kenyataan memohon maaf atas tindakan memadam hantaran perdana menteri di media sosial Facebook dan Instagram atas alasan kesilapan operasi.
Hantaran yang dipadam itu adalah mengenai pertemuan Anwar dengan Ismail Haniyeh pada Mei lalu dan perdana menteri mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas itu minggu lalu.
Bagaimanapun hantaran itu disiarkan dengan nota daripada Meta.
Jangan ada dwi standard
Mengulas tindakan itu, Fahmi hari ini berkata, Meta memberi alasan bahawa hantaran perdana menteri diberi nota sedemikian kerana bertentangan dengan garis panduan komuniti.
“Meta mempunyai satu badan bebas yang akan meneliti apa-apa aduan atau rayuan yang dibuat terhadap mana-mana kandungan diturunkan.
“Jadi label tersebut telah disarankan oleh badan bebas tersebut, bukan oleh Meta sendiri, ini telah dimaklumkan kepada saya dan saya berpandangan kalau itu cara mereka, itu cara merekalah,” katanya.
Selain itu, Fahmi turut berharap agar tindakan memadamkan hantaran seperti itu tidak berulang.
“Semasa mesyuarat semalam, saya minta supaya Meta pastikan PM diberikan taraf serupa sebagai ketua kerajaan lain.
“PM Anwar harus diberikan taraf yang sama, jadi mesti sama degan ketua negara lain.
“Jangan ada double standard,” katanya.
Meta hanya ‘tersenyum simpul‘
Bagaimanapun, Fahmi berkata, beliau tidak dapat menerima penjelasan Meta mengenai gangguan yang dilaporkan semasa siaran langsung RTM di Facebook mengenai perhimpunan pro-Palestin kerajaan yang diadakan di Arena Axiata di Bukit Jalil pada malam Ahad lalu.
“Mereka ada memberikan penjelasan, tapi saya dalam bab ini tidak boleh terima penjelasan mereka.
“Mereka mengatakan ada isu hak cipta membabitkan satu lagu dinyanyikan oleh Faizal Tahir.
“Tapi kenapa hanya siaran dari berita RTM disekat, bukan media lain, ia bersiar seperti biasa dan tak ada sekatan,” katanya.
Menurut Fahmi, beliau telah meminta kerjasama daripada Meta dengan memberikan lebih awal senarai agensi media yang ingin menyiarkan secara langsung himpunan terbabit menerusi platform FB.
“Saya kecewa dengan kejadian itu,” katanya, sambil menambah bahawa wakil Meta hanya ‘tersenyum simpul’ tanpa memberikan penjelasan yang memuaskan.