
MARANG – Hal kebajikan dan keselesaan pasukan keselamatan terutamanya tempat tinggal tidak harus dipandang remeh mahupun dilupakan.
Ini kerana negara menuntut anggota keselamatan berkorban masa, tenaga dan nyawa untuk memelihara keamanan.
Demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui hantaran di Facebook rasminya, semalam.
Justeru, beliau meluluskan segera peruntukan bagi membaik pulih kuarters kediaman IPD Marang.

“Saya meluluskan segera peruntukan sebanyak RM1 juta untuk kerja-kerja baik pulih kuarters kediaman IPD Marang ini sekaligus komitmen jelas Kerajaan Madani untuk menjaga kebajikan dan mengangkat martabat anggota keselamatan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun itu turut meninjau keadaan kuarters di IPD yang memerlukan perhatian mendesak berkenaan malah difahamkan situasi sama turut membelenggu beberapa kuarters dan balai polis lain di seluruh negara.

Perdana Menteri mengakhiri lawatannya di Terengganu dengan meluangkan masa bertemu warga Kementerian Dalam Negeri terdiri daripada pegawai dan anggota polis, APMM, RELA dan Jabatan Penjara dalam sesi ramah mesra di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.