
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga penulis blog, Raja Petra Kamarudin dilaporkan meninggal dunia di Manchester, United Kingdom.
Anwar menerusi hantaran di Facebook rasmi berkata, beliau turut berduka dan mendoakan agar ahli keluarga Raja Petra diberikan kekuatan dalam menghadapi dugaan itu.
“Takziah kepada keluarga blogger Raja Petra Kamarudin atau RPK yang dilaporkan telah dijemput ilahi malam tadi di Manchester, United Kingdom.
“Saya turut berduka dan mendoakan agar ruhnya diberi keampunan oleh Allah SWT dan keluarganya diberi ketabahan serta tahap kecekalan yang tinggi, Insya-Allah,” katanya di Facebook pada Selasa.
Terdahulu, pada awal tahun ini, polis merujuk kepada Pejabat Peguam Negara bagi menentukan tindakan ke atas penulis blog tersebut berhubung dakwaan terdapat gerakan ahli Parlimen pembangkang untuk menggulingkan kerajaan yang dikenali sebagai Langkah di Dubai.
Polis sebelum ini memaklumkan, sudah merakamkan keterangan empat individu berkaitan isu Langkah Dubai yang dikatakan bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.