PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru dan menggesa para pemimpin dunia agar segera mengambil tindakan bersama bagi menghentikan bencana kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza.
“Malaysia menggesa semua pemimpin dunia untuk bertindak segera. Setiap kerajaan yang menjunjung undang-undang antarabangsa, setiap negara yang mengaku menghargai nilai kehidupan manusia, mesti bersuara dengan satu nada.
“Sehubungan itu, saya merayu kepada semua pihak yang mempunyai pengaruh terhadap Israel agar tampil berani dan bertindak secara tegas.
“Saya khususnya merayu kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, agar menggunakan pengaruh beliau untuk menghentikan segera pembunuhan, memberhentikan pengeboman tanpa diskriminasi, dan memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang memerlukan tanpa sebarang halangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Anwar menyifatkan tragedi yang sedang berlaku di Gaza sebagai ujian terhadap kemanusiaan sejagat, dan menegaskan bahawa pengabaian terhadap nyawa serta maruah manusia yang jelas ini mesti dihentikan segera kerana ia mencabuli prinsip moral yang paling asas.
“Seluruh keluarga sedang dibunuh. Kanak-kanak dan termasuk bayi turut terbunuh. Ada pula yang kini menderita kelaparan. Inilah saatnya untuk kepimpinan moral tampil ke hadapan. Inilah waktunya untuk kita mempertahankan nilai-nilai yang kononnya kita junjung tinggi,” ujarnya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia bersedia bekerjasama dengan semua negara demi membawa kelegaan kepada Gaza dan memulihkan prinsip asas kemanusiaan.
“Janganlah kita dikenang sebagai mereka yang hanya memerhati dari jauh. Biarlah kita dipandu oleh suara hati nurani, menjawab penderitaan dengan rasa belas kasihan, dan mengejar keamanan demi nilai kemanusiaan sejagat,” katanya.
Terdahulu, dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Anwar menegaskan bahawa pendirian Malaysia terhadap isu Gaza serta hal yang berkaitan dengan Palestin dan negara Asia Barat lain termasuk Iran tidak akan berubah, meskipun Malaysia berdepan dengan kemungkinan tekanan atau bantahan daripada Amerika Syarikat dalam rundingan tarif yang dijangka berterusan sehingga Ogos.





