
LAHAD DATU – PKR dijangka akan mendedahkan senarai calon Pilihan Raya Negerii ke-17 (PRN17) Sabah pada saat-saat akhir iaitu kira-kira dua minggu sebelum hari penamaan calon.
Ketua Penerangannya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perbincangan masih berjalan khususnya membabitkan isu pembahagian kerusi di Sabah.
“Kita masih dalam perbincangan kerana ada sesetengah tempat, isu kerusi kita pun ambil maklum.
“Baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyatakan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak akan bekerjasama dengan GRS tetapi akan kekalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan.
“Jadi selepas daripada keputusan itu, maka ada beberapa perkara yang kita perlu bincangkan,” katanya kepada media berkenaan senarai calon PKR dimuktamadkan pada PRN17 akan datang ketika ditemui di Lahad Datu, pada Sabtu.
Sehubungan itu katanya, secara lazimnya, senarai calon diumum dalam tempoh dua minggu sebelum hari penamaan calon dan tidak akan mengumumkannya terlalu awal.
Baru-baru ini, Zahid dalam sidang medianya di Kota Kinabalu menyatakan UMNO dan BN Sabah menutup pintu kerjasama dengan GRS selepas mengadakan mesyuarat tertutup dengan Biro Politik UMNO Sabah.
Terdahulu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud turut memberi bayangan lima kerusi di Pantai Timur (dua Sandakan dan Kalabakan serta satu Lahad Datu) akan ditandingi PKR.







