
SANDAKAN – PKR Cabang Batu Sapi mengutuk sekeras-kerasnya tindakan segelintir mahasiswa dan anak muda yang membakar karikatur Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim dalam bentuk protes baru-baru ini.
Ketua Cabang Batu Sapi, Aris Remigius berkata, tindakan itu bukan sahaja biadab malah langsung tidak mencerminkan budaya intelektual yang seharusnya menjadi ciri utama mahasiswa.
“Tindakan sedemikian menunjukkan tahap kebencian politik yang melampau dan tidak sihat dalam kalangan generasi muda.
“Sebagai rakyat Malaysia yang mengamalkan demokrasi kita harus menyuarakan pandangan secara berhemah, beradab dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, prinsip kebebasan bersuara tidak seharusnya disalahgunakan untuk menghina, mengaibkan atau mencemarkan maruah pemimpin negara.
“Apatah lagi, tindakan membakar karikatur Perdana Menteri yang sah dipilih secara demokrasi adalah suatu simbol penghinaan yang keterlaluan,” katanya.
Aris turut menyeru semua pihak khususnya golongan muda agar kembali kepada semangat wacana sihat dan membina, bukannya mengapi-apikan kebencian yang mampu memecahbelahkan perpaduan negara.
“Mahasiswa perlu tampil sebagai agen perubahan berilmu dan bermaruah, bukan menjadi alat kepada agenda politik sempit yang merosakkan nilai tatasusila dan keharmonian masyarakat,” katanya lagi.
Tambah beliau, kepimpinan Perdana Menteri ketika ini sedang berusaha keras memulihkan negara pasca-pandemik melalui pelbagai dasar reformasi yang inklusif.
Ujarnya, ruang perlu diberi kepada kerajaan untuk meneruskan usaha membina semula negara, bukan menjatuhkannya melalui tindakan tidak bertamadun.







