KANGAR – Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri Perlis menamatkan pengoperasiannya hari ini selepas banjir di negeri itu pulih sepenuhnya.
Penutupan PKOB itu dilakukan susulan semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sebelum ini telah ditutup sepenuhnya.
Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis memaklumkan, PPS terakhir yang ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Arau pada pukul 2.30 petang semalam.
“Keadaan cuaca baik tanpa hujan dan paras air sungai menunjukkan trend penurunan di beberapa kawasan terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.
Sejak PPS mula beroperasi pada 27 November lalu, seramai hampir 500 mangsa banjir telah mendapat perlindungan di semua PPS yang dibuka di negeri ini.
Antara PPS lain yang telah ditutup lebih awal ialah SK Guar Nangka di Arau, SK Titi Tinggi di Padang Besar dan Dewan Warisan di Kangar.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perlis turut merakamkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi yang terlibat sepanjang pengoperasian PKOB.
PKOB Negeri Perlis secara rasmi ditutup pada jam 4 petang semalam.







