
DEWAN Negara hari ini meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Komunikasi dan Multimedia 2024.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang berharap pindaan RUU berkenaan dapat memastikan segenap lapisan masyarakat Malaysia dilindungi daripada ancaman penyalahgunaan internet.
“Alhamdulillah, Rang Undang-undang (RUU) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024 diluluskan oleh Dewan Negara hari ini.
“Kerajaan Madani akan terus memastikan ekosistem rangkaian internet lebih selamat untuk semua pengguna, terutamanya kanak-kanak dan keluarga,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam ini.
Pada 9 Disember lalu, pindaan RUU Akta Komunikasi dan Multimedia diluluskan di Dewan Rakyat yang antara intipatinya mengekalkan Seksyen 233 di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) tidak dimansuhkan untuk mengelak penyalahgunaan rangkaian oleh mana-mana pihak bagi tujuan komersial khususnya penjualan pornografi dan pedofilia.
Bagi pindaan Seksyen 211 pula, ia tidak terpakai kepada orang awam tetapi penggunaannya adalah kepada pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) dengan denda dalam seksyen tersebut diselaraskan mengikut perkembangan semasa.
Menerusi RUU itu, Seksyen 211 antaranya meminda menggantikan perkataan ‘kandungan jelik’ dengan perkataan ‘kandungan yang sumbang dan lain-lain’, manakala dalam Seksyen 211 (b)(1) memotong perkataan ‘atau orang lain yang menggunakan perkhidmatan aplikasi kandungan’ serta menggantikan perkataan ‘jelik’ dengan perkataan ‘jelik melampau’.
Seksyen 211(c) pula antaranya menggantikan perkataan ‘seseorang’ dengan perkataan ‘pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan’ selain menggantikan perkataan ‘lima puluh ribu’ dengan perkataan ‘satu juta’.
RUU itu antara lain turut menggariskan cadangan peruntukan hukuman penjara tidak lebih tempoh lima tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya, bagi kesalahan yang dilakukan terhadap kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.
Fasal 91(c) dalam RUU itu juga mencadangkan untuk memasukkan subseksyen baharu ke dalam Seksyen 233 akta itu, yang memperuntukkan hukuman berbeza dan lebih tinggi jika kesalahan dilakukan terhadap seorang kanak-kanak berumur bawah 18 tahun, yang mentafsirkan kesalahan yang dilakukan sebagai kesalahan boleh tangkap.
Subseksyen baharu itu juga turut memperuntukkan pesalah boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Fasal 91(a)(i) pula mencadangkan penggantian perkataan jelik dengan perkataan jelik melampau pada Seksyen 233 (1), manakala Fasal 91(a)(ii) bertujuan untuk memasukkan unsur kesalahan yang baharu dalam subseksyen sama berhubung dengan perlakuan apa-apa fraud dan kecurangan kepada mana-mana orang.





