
PINDAAN Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588)
merupakan satu akta yang penting untuk dipinda dalam membendung jenayah dan mengelakkan penyalahgunaan di media sosial demi jaminan kesejahteraan rakyat Malaysia.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pindaan akta ini juga meluaskan lagi skop undang-undang di platform media sosial selaras dengan pelesenan yang bakal dikuat kuasakan pada 1 Januari 2025.
“Kalau kita baca Rang Undang-Undang (RUU) di laman web Parlimen kita akan nampak 98 peratus pindaan ini adalah berkaitan dengan industri telco itu sendiri. Banyak aduan yang diterima selama ini dan bila dikeluarkan arahan kepada telco, denda yang dikenakan terlalu kecil dengan kemampuan telco hari ini.
“Banyak pindaan berkaitan dengan keselamatan rangkaian atau pembangunan industri. Itu dua teras utama. Dan satu adalah berkaitan dengan media sosial.
“1 Januari 2025 kita akan mulakan rejim perlesenan, proses untuk pastikan semua platform media sosial akur dan patuh dalam undang-undang negara kita,” katanya menerusi rancangan Podcast Edisi Khas di TV3 pada Sabtu.
Ogos lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
MCMC dalam kenyataannya dilaporkan, langkah itu akan dikuat kuasa bermula 1 Januari 2025, susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet diperkenalkan.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, menerusi pindaan ini juga akan membawa kerjasama meluas melibatkan pelbagai pihak dan agensi dalam mewujudkan rangkaian digital yang harmoni tanpa jenayah yang kian berleluasa seperti kegiatan scammer, judi serta jenayah seksual kanak-kanak.
“Pada masa yg sama kita dah nampak jenayah yang dah mula berhijrah ke ‘online’ semakin menjadi-jadi. Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) memaklumkan sebagai contoh jenayah scam yang berlaku di Facebook tahun 2023 sahaja menelan nilai kerugian RM423 juta kepada rakyat Malaysia.
“Orang yang baru pencen, baru dapat KWSP ramai yang terkesan akibat ditipu macam-macam benda dalam Facebook dan pelbagai platform lagi.
“Kita nampak scam, judi online, buli siber serta macam-macam scam tetapi ada satu lagi iaitu jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang semakin menjadi-jadi.
“Trend yang semakin meningkat dan merisaukan saban tahun. Untuk melawan beberapa kategori jenayah ini, kita perlukan kerjasama daripada syarikat-syarikat penyedia platform media sosial ini dan beberapa perkara seperti hukuman mesti ditingkatkan,” katanya.
Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bertujuan menyediakan ekosistem rangkaian internet yang lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna.
Pindaan itu juga bagi memastikan negara bebas daripada ancaman siber seperti pedofilia, pornografi kanak-kanak, pengantunan seksual, penipuan dalam talian, buli siber dan judi dalam talian.






