PULAU PINANG – Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang menegaskan sudah tiba masanya kepimpinan utama kerajaan memberi perhatian serius mengenai isu kuota calon wanita dalam pilihan raya.
Katuanya, Ameera Nadia Mohd Shafiee berkata, beliau menyokong penuh cadangan pindaan Akta Pilihan Raya dan Peraturan Pilihan Raya yang memperuntukkan sekurang-kurangnya 30% calon wanita dalam pilihan raya yang disuarakan Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Al Jundi.
“Saya senada dengan kenyataan dari Ketua Wanita Amanah yang juga Ahli Parlimen Sepang itu mengenai pindaan ini segera dilaksanakan demi mengiktiraf dan memperkasakan lagi kedudukan wanita dalam landskap politik Malaysia” jelasnya.
Tambah Ameera, pindaan ini dapat memastikan suara wanita lebih didengar dan kepentingan mereka lebih diutamakan dalam proses pembuatan dasar.
“Ini akan memberi peluang kepada wanita untuk turut serta dalam penggubalan undang-undang yang lebih inklusif,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press baru-baru ini.
Jelas Ameera lagi dengan pindaan ini juga akan memperlihatkan parti UMNO sebagai parti yang kehadapan dalam memperkasa peranan wanita dalam negara disamping mampu memperkukuh parti UMNO dalam agenda memperkukuh parti.
“Langkah tersebut tidak hanya menunjukkan bahawa UMNO adalah parti yang inklusif dan progresif, tetapi juga meningkatkan keyakinan rakyat terhadapkomitmen parti untuk melibatkan semua lapisan masyarakat.
“Puteri UMNO Pulau Pinang percaya bahawa parti perlu menjadi peneraju utama dalam usaha ini,” tegasnya.





