
KOTA KINABALU – Pakatan Harapan (PH) Sabah yakin dan hargai bahawa melalui keikhlasan, komitmen dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan memastikan hak Sabah dan Sarawak, pasti dihormati dan dilunaskan seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
Menerusi satu kenyataan PH Sabah pada Ahad, tidak pernah dalam sejarah negara mempunyai seorang Perdana Menteri yang telus, menghormati perjanjian sejarah, dan ikhlas untuk memberikan pemberdayaan kewangan yang sebenar kepada Sabah dan Sarawak.
“Pelbagai maklum balas orang ramai terhadap kenyataan Perdana Menteri bahawa Kerajaan Persekutuan telah memberikan lebih daripada 40 peratus, iaitu sebanyak RM16 bilion dalam peruntukan keseluruhan bagi tahun 2024 untuk Sabah.
“Menghargai apa yang telah dikatakan dan niat ucapan Perdana Menteri mengenai hal ini adalah sesuatu yang harus diterima dengan hati dan fikiran yang terbuka sebagai pendedahan tentang perhatian istimewa dan komitmen kewangan yang diberikan kepada Sabah oleh kerajaan persekutuan dalam memahami dan mengakui keperluan di Sabah,” kata kenyataan itu.
Menurut PH Sabah, beberapa tahun yang lalu, perkara ini adalah ‘pantang’ untuk disebut dan dibincangkan secara terbuka.
PH Sabah mengulas lanjut, melalui penubuhan di bawah Majlis Tindakan Penyelesaian Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) oleh kerajaan persekutuan, beberapa tuntutan penting diberikan dan dikembalikan kepada Sabah dan Sarawak.
Antaranya adalah penyerahan kuasa pentadbiran ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan serta pemberian kuasa ke atas perlesenan dan penangkapan ikan laut kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.
Antara yang telah diselesaikan sepenuhnya ialah pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182); dan pindaan kepada Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 untuk melantik wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebagai ahli tetap lembaga.
Bukan itu sahaja, penyerahan kuasa untuk mengawal selia bekalan gas di Sabah, Pentadbiran kehakiman di Sabah dan Sarawak, penyediaan garis panduan untuk pemindahan semula tanah yang dikhaskan untuk persekutuan negeri Sabah dan Sarawak serta penyerahan kuasa pengawalseliaan elektrik kepada kerajaan negeri Sabah yang telah diselesaikan.
“Ini kali pertama selepas 61 tahun pembentukan Malaysia beberapa tuntutan di bawah MA63 telah dapat diselesaikan.
“Ini adalah perkembangan yang positif dan penting yang menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membetulkan keadaan dengan mengiktiraf peranan Sabah dan Sarawak serta kedudukan istimewa dalam pembentukan Malaysia.
“Ini hanyalah beberapa perkara yang telah dipersetujui dan masih banyak lagi perkara lain yang sedang dikenal pasti dan dibincangkan.
“Kita harus mengakui bahawa perbincangan dan rundingan ini adalah rumit dan pada masa yang sama melibatkan perkara perundangan yang kompleks yang memerlukan kajian dan pertimbangan terperinci,” kata PH Sabah.





