PH ada potensi kekal namun ‘menang tipis’ di DUN Api-Api atas faktor jentera lemah

KOTA KINABALU – Kerusi Dewan Undangan Nege­ri (DUN) Api-Api antara tumpuan utama dalam Pilihan Raya Nege­ri (PRN) Sabah apabila kawasan majoriti pengundi Cina dan Bumiputera kembali dipertandingkan dengan persaingan lima penjuru.

Sejak 2013, Api-Api dianggap kubu kuat Pakatan Harapan (PH) dan PKR selepas mencatat kemenangan selesa dalam tiga PRN berturut-turut, termasuk ke­putusan pada 2020 yang me­nyaksikan parti itu meraih lebih 65 peratus undi.

Keputusan ini memberi gambaran sokongan berterusan pe­ngundi bandar terhadap mesej reformasi, tadbir urus baik dan hubungan yang stabil bersama kerajaan pusat.

Bagaimanapun, landskap PRN kali ini membawa sedikit kejutan apabila penyandang, Datuk Seri Christina Liew, digugurkan daripada senarai calon dengan strategi mengukuhkan kedudukan PH di Kota Kinabalu apabila PKR mengetengahkan Penolong Setiausaha PKR Sabah, Thonny Chee bagi mempertahankan Api-Api.

Beliau dijangka bergantung kepada pengaruh yang dibawa Christina dan rekod pentadbiran sebelum ini dalam meyakinkan pengundi bahawa perubahan calon bukan isyarat ketidakstabilan dalaman parti, sebaliknya strategi bagi memastikan kesinambungan penguasaan PH di kawasan bandar Sabah.

Thonny dilihat sebagai calon yang berwibawa, berpendidikan dan memiliki imej profesional yang sesuai dengan demografi pengundi Api-Api, terutama generasi muda bandar dan golongan profesional.

Keupayaannya berkomunikasi serta sikapnya yang mesra rakyat memberi kelebihan awal untuk mengekalkan sokongan asas pengundi PH.

Dalam beberapa siri turun padang, Thonny menunjukkan pendekatan lebih jelas terhadap isu setempat termasuk pembangunan bandar, akses ekonomi dan kebajikan komuniti yang membantu memperkukuhkan imej beliau sebagai calon yang boleh membawa kesinambungan kepimpinan di kawasan itu.

Bagaimanapun, kelemahan jentera dan pengurusnya menimbulkan rungutan dan rasa ‘bengang’ dalam kalangan penyokong sehingga mewujudkan persepsi negatif serta kecaman terhadap Thonny.

Antara rungutan yang diterima termasuklah, jadual Thonny yang sering berubah pada saat akhir, ketidakselarasan maklumat kepada penduduk, kelemahan mengatur pertemuan calon dengan komuniti serta pengurusan lapangan yang dilihat tidak konsisten.

Bagi kawasan bandar seperti Api-Api, isu teknikal kecil seperti kelewatan atau jadual bercelaru boleh menjejaskan persepsi pengundi. Ramai yang melihatnya sebagai gambaran calon kurang bersedia menjadi wakil rakyat walaupun hakikatnya masalah berpunca daripada jentera.

Sementara itu, Parti Impian Sabah (PIS), Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Warisan turut meletakkan calon masing-ma­sing, sekali gus memecah undi pembangkang dalam blok Cina bandar.

Situasi pertarungan pelbagai penjuru ini secara tradisinya menguntungkan PKR kerana undi anti-kerajaan kebiasaannya terpecah ke beberapa parti. Analisis PRN lalu menunjukkan Api-Api sukar ditembusi jika cabaran terhadap penyandang tidak datang secara bersatu dan sehaluan.

Isu bandar turut menjadi antara faktor penentu undi, antaranya kos sara hidup, kesesakan lalu lintas, masalah parkir dan pembangunan. Pengundi bandar lazimnya menilai rekod pentadbiran dan prestasi kerajaan secara lebih langsung berbanding retorik politik semata-mata.

Selain itu, pengundi muda bandar dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan saiz majoriti, dengan kecenderungan mereka yang lebih kritikal terhadap prestasi kerajaan dan lebih terdedah kepada kempen media sosial.

Melihat pola undi dan kekuatan calon, Api-Api masih kekal dikategorikan sebagai kerusi selamat untuk PH–PKR namun struktur sokongan lemah daripada jenera menjadikan keputusan di Api-Api masih terbuka dan bergantung kepada prestasi kempen pada saat akhir.

Related Posts

ECRL perlu kaji semula cadangan 70 peratus kargo, 30 peratus penumpang

KUANTAN – Cadangan operasi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang tidak seimbang antara pengangkutan kargo dan penumpang dibimbangi tidak dapat memberi manfaat signifikan kepada orang ramai. Menteri Besar Pahang,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Peruntukan pembangunan Kelantan dinaikkan kepada RM8 bilion – PM

KOTA BHARU – Kerajaan Persekutuan menambah peruntukan pembangunan untuk Kelantan daripada RM3 bilion kepada RM8 bilion sebagai bukti keprihatinan terhadap pembangunan negeri itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Nyatakan alasan kukuh tunda sidang DUN – Fathul Bari

Nyatakan alasan kukuh tunda sidang DUN – Fathul Bari

Jeti haram, pelancong berisiko: KePKAS bertindak tegas bersih Semporna

Jeti haram, pelancong berisiko: KePKAS bertindak tegas bersih Semporna

‎Koperasi pemacu ekonomi rakyat, sumbang RM81.62 bilion – KUSKOP ‎

‎Koperasi pemacu ekonomi rakyat, sumbang RM81.62 bilion – KUSKOP ‎

ECRL perlu kaji semula cadangan 70 peratus kargo, 30 peratus penumpang

ECRL perlu kaji semula cadangan 70 peratus kargo, 30 peratus penumpang

Inisiatif Rumah Bangsa perkukuh perpaduan UMNO – Wan Rosdy

Inisiatif Rumah Bangsa perkukuh perpaduan UMNO – Wan Rosdy

Peruntukan pembangunan Kelantan dinaikkan kepada RM8 bilion – PM

Peruntukan pembangunan Kelantan dinaikkan kepada RM8 bilion – PM