
KERAJAAN tidak membincangkan dakwaan penahanan tidak berpelembagaan melibatkan ahli perniagaan, Albert Tei, dalam Mesyuarat Kabinet hari ini, menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau menegaskan bahawa isu berkenaan berada dalam bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Boleh rujuk dengan pihak SPRM. Kami tidak ada bincang perkara ini dalam mesyuarat (Kabinet) pada hari ini,” katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, SPRM mengumumkan bahawa pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung tohmahan rasuah yang dibuat oleh Albert Tei terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Shamsul Iskandar menafikan tuduhan berkenaan dan menyifatkannya sebagai fitnah yang dirancang untuk menjatuhkan kerajaan.
Beliau turut meletakkan jawatan pada Selasa lalu dan menegaskan komitmennya untuk mempertahankan diri daripada serangan yang dianggap sebagai cubaan memburukkan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan, Anwar memaklumkan bahawa beliau menerima peletakan jawatan Shamsul Iskandar serta menegaskan bahawa SPRM bebas menjalankan siasatan tanpa sebarang campur tangan pihak luar.





