PADANG BESAR – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 550 produk mengandungi bahan kimia tidak berdaftar dengan Jabatan Pertanian bernilai keseluruhan RM90,200 dalam satu operasi di sekatan jalan raya sempadan Kilometer 27 di Padang Besar, semalam.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, operasi yang dilaksanakan oleh Kompeni ‘C’ Batalion 2 PGA itu berjaya menahan sebuah van jenis Toyota Hiace yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut menemukan 150 produk bahan kimia hormon tanaman dan 400 produk bahan kimia penggalak susu getah.
“Suspek dipercayai mengambil racun berkenaan dari sebuah kedai di Kaki Bukit untuk dihantar ke Selangor,” katanya dalam satu kenyataan di sini .
Menurut beliau, tangkapan dan rampasan dibuat kerana suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974 kerana memiliki produk bahan kimia yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pertanian.
Shahrum menegaskan, PGA Briged Utara giat melaksanakan pengawasan dan pemeriksaan di semua sekatan jalan raya sempadan Perlis, Kedah dan Perak bagi mengekang aktiviti menyalahi undang-undang.
“PGA komited dan konsisten dalam menggerakkan tindakan penguatkuasaan serta tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang.
“Masyarakat juga diseru supaya menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” jelasnya.



