
SEMPORNA – Tindakan pantas Task Force Perisikan Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak berjaya menahan ‘runner’ sekali gus menumpaskan kegiatan penjualan rokok tanpa cukai di tepi jalan Kampung Selamat, di sini, pada Isnin.
Batalion 22 PGA Kunak menerusi satu kenyataan memaklumkan, semasa pemeriksaan dijalankan ke atas seorang lelaki warga asing berumur 25 tahun dan kenderaannya, ditemukan 115 karton rokok pelbagai jenis yang disyaki tidak bercukai disimpan di dalam bonet belakang serta di luar kenderaan tersebut.
“Suspek mengaku bertindak sebagai ‘runner’ dengan menerima upah RM100 daripada individu dikenali sebagai JAIS, selain turut menjual rokok tanpa cukai secara kecil-kecilan di sekitar Kampung Selamat.

“Turut dirampas kenderaan yang digunakan dalam kegiatan itu dengan jumlah nilai rampasan termasuk rokok dianggarkan RM51,400,” menurut Batalion 22 PGA Kunak, pada Selasa.
Kejayaan itu hasil risikan serta operasi intra/inter agensi Op Taring Alpha 1 dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.
Tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada IPD Semporna untuk tindakan lanjut manakala risikan masih diteruskan bagi mengesan rangkaian yang terlibat.





