
PADAWAN – Dua lelaki tempatan diberkas polis selepas didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam dua serbuan berasingan di sekitar kawasan ini pada awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, kedua-dua suspek masing-masing berumur 24 dan 36 tahun ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan dalam operasi berasingan.
Menurut beliau, dalam tangkapan pertama, polis berjaya merampas ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 0.52 gram serta pil Eramin daripada suspek.
“Tangkapan kedua pula berjaya merampas ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat 0.32 gram daripada seorang lagi suspek di lokasi berbeza,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah Mohd Irwan, kedua-dua suspek turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine selepas menjalani ujian saringan awal air kencing.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penyalahgunaan dadah,” ujarnya lagi.






