KUANTAN – Kerajaan Pahang menyediakan peruntukan lebih RM1.7 juta bagi memberi sumbangan kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), imam, bilal, siak serta guru takmir di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan itu antara lain bertujuan meringankan beban perbelanjaan golongan berkenaan menjelang Aidilfitri.
Beliau berkata, kerajaan Pahang tahun ini memberikan sumbangan RM300 seorang kepada 2,650 guru KAFA membabitkan peruntukan RM795,000.
“Bagi mengenang jasa penyelia KAFA lantikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bertugas di Pahang, kita memberikan RM500 seorang kepada 39 penyelia dengan jumlah peruntukan RM19,500,” katanya.
Wan Rosdy berkata kepada media selepas Majlis Pengumuman Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) peringkat Pahang 2024 dan Penyerahan Sumbangan Kerajaan Pahang Kepada Petugas Agama di Pahang di Sekolah Menengah Agama Padang Tengku dekat Lipis, petang semalam.
Beliau berkata sebanyak RM300 diberikan kepada setiap seorang melibatkan 1,187 imam dan 525 guru takmir manakala RM200 kepada 1,087 bilal dan 1,081 siak.
Dalam pada itu, Wan Rosdy mengucapkan tahniah kepada semua pihak termasuk Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), pentadbir sekolah, guru dan pelajar KAFA atas keputusan UPKK yang membanggakan.
Beliau berkata, seramai 15,945 orang murid menduduki UPKK pada tahun lepas dengan 93.81 peratus lulus, iaitu peningkatan sebanyak 2.81 peratus berbanding 2023.
“Begitu juga bilangan calon mendapat 9A, seramai 1,636 orang mewakili 10.37 peratus daripada bilangan keseluruhan calon, manakala calon mendapat 8A pula seramai 1,453 orang atau 9.21 peratus daripada bilangan keseluruhan calon,” katanya.







