Petronas, Sabah iktiraf vendor tempatan bagi perkukuh pertumbuhan sektor OGSE

KOTA KINABALU – Petronas bersama Kerajaan Negeri Sabah terus mengiktiraf vendor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) yang berpangkalan di Sabah atas pencapaian mereka dalam memperkukuh ekosistem industri tempatan yang mampan dan berdaya saing.

Seramai 98 vendor telah menerima pengiktirafan atas keupayaan dan rekod prestasi mereka dalam memperoleh kontrak, mencerminkan pertumbuhan konsisten sejak Perjanjian Kolaborasi Komersial (CCA) Sabah pada 2021.

Menurut Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) Petronas, Datuk Ir Dr Bacho Pilong, menekankan landskap tenaga global yang dinamik dan peranan penting sektor OGSE kepada ekonomi Malaysia.

“Sektor OGSE terus menjadi tunjang ekonomi negara dengan sokongan dan kerjasama berterusan bersama Kerajaan Negeri Sabah.

“Kita mampu membina rantaian bekalan OGSE yang lebih berdaya tahan serta meletakkan Sabah sebagai destinasi pelaburan pilihan,” ujarnya semasa berucap dalam Majlis Penghargaan Vendor OGSE Sabah 2025, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata, vendor-vendor yang menerima pengiktirafan merangkumi skop kerja sederhana hingga kompleks, termasuk penyelenggaraan turbin gas, perkhidmatan Kapal Sokongan Pengeluaran bagi operasi penggerudian laut dalam, penyelenggaraan kepala telaga, terminal, kerja-kerja penyelenggaraan dan pengubahsuaian, serta operasi marin.

“Mereka turut memperkukuh kerjasama industri melalui kontrak usahasama bagi penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian luar pesisir, serta kerja-kerja sambungan dan pentauliahan,” ujarnya.

Pada majlis sama, dua syarikat Sabah diumumkan sebagai peserta baharu Program Pembangunan Vendor (VDP), iaitu Seascape Synergy Services Sdn Bhd bagi penyelenggaraan rakit dan bot penyelamat dan GMB Dynamic Sdn Bhd bagi penyelenggaraan jentera bomba.

Penyertaan mereka mencerminkan peningkatan standard keupayaan vendor tempatan dari segi keselamatan, kualiti dan kecemerlangan operasi.

Petronas dan Kerajaan Negeri Sabah menghargai komitmen rakan strategik, persatuan industri dan vendor dalam memperkukuh ekosistem OGSE Sabah serta kekal komited membangunkan industri yang mampan, inklusif dan berdaya saing.

Sebagai rekod, jumlah kontrak yang diraih meningkat daripada 133 pada 2021 kepada 499 pada tahun 2025, menunjukkan kematangan dan keupayaan industri tempatan yang berkembang pesat.

Pengiktirafan berkenaan disampaikan oleh Naib Presiden Perolehan Kumpulan Petronas, Rashidah Alias.

Majlis tersebut disaksikan oleh Pembantu Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Sr Mohd Ishak Datuk Ayub, mewakili Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

  • Related Posts

    Kerjasama strategik pertingkat hubungan PBT dan masyarakat di Sandakan

    SANDAKAN – Kerjasama strategik termasuk persatuan masyarakat dan media dilihat mampu memperkukuh hubungan antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan masyarakat akar umbi di daerah ini. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca
    KPSTI selaras pendidikan tinggi Sabah dengan keperluan industri – James

    KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah melalui Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Inovasi Sabah (KPSTI) terus mempergiat usaha menyelaras pendidikan tinggi negeri ini dengan keperluan industri semasa bagi menangani isu ketidakpadanan…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca

    Perlu dibaca

    Kerjasama strategik pertingkat hubungan PBT dan masyarakat di Sandakan

    Kerjasama strategik pertingkat hubungan PBT dan masyarakat di Sandakan

    Jangan biarkan naratif selektif tentukan masa depan negeri

    Jangan biarkan naratif selektif tentukan masa depan negeri

    KPSTI selaras pendidikan tinggi Sabah dengan keperluan industri – James

    KPSTI selaras pendidikan tinggi Sabah dengan keperluan industri – James

    Malaysia perkukuh kerjasama tenaga, hadapi ketidaktentuan global – PM

    Malaysia perkukuh kerjasama tenaga, hadapi ketidaktentuan global – PM

    Tekanan kos meningkat susulan krisis bekalan global

    Tekanan kos meningkat susulan krisis bekalan global

    Pasangan buat aksi lucah di jirat Cina dibebas awal

    Pasangan buat aksi lucah di jirat Cina dibebas awal