
SANDAKAN – Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menekankan kepentingan memastikan fasiliti sukan di negeri ini berada dalam keadaan baik bagi mengekalkan imej kementerian.
Menurutnya, semua pihak yang dipertanggungjawabkan perlu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin kerana keadaan Kompleks Sukan dan kemudahan sukan mencerminkan prestasi Kementerian.
“Kalau kompleks sukan dan fasiliti sukan tidak berada dalam keadaan baik, ia menunjukkan kelemahan kementerian itu sendiri.
“Sebab itu saya mengambil kesempatan turun padang untuk meninjau sendiri, bukan sahaja di Sandakan, tetapi juga di Kota Kinabalu.
“Insya-Allah akan terus menjalankan jelajah ke seluruh Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat Kompleks Sukan Sandakan dan Arena Belia Sandakan, di sini, pada Rabu.
Nizam berkata, lawatan ini selaras dengan harapan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, untuk memperbaiki kelemahan yang wujud sebelum ini dan mengekalkan apa yang telah berjalan dengan baik.
Beliau menjelaskan, lawatan tersebut memberi gambaran sebenar mengenai keadaan kemudahan sukan di negeri ini, di mana ada yang berada dalam keadaan baik, namun terdapat juga yang perlu diperbaiki.
“Memang ada kemudahan sukan yang perlu diperbaiki mungkin disebabkan kekangan kewangan, tetapi insya-Allah kita akan mencari jalan sama ada melalui peruntukan Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan untuk memastikan fasiliti sukan sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri KBSK, Datuk Anil Sandhu; Pengerusi Lembaga Sukan Sabah (LSS), Syed Ahmad Syed Abas; Setiausaha Tetap KBSK, Datuk Mansur Asun serta semua pegawai tertinggi kementerian.






