
KOTA KINABALU – Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam, Datuk Peto Galim optimis pengundi di kawasan itu mampu membuat keputusan yang tepat meskipun berdepan pertandingan paling sesak dengan 13 calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) ini.
Peto berkata, walaupun jumlah calon yang ramai menunjukkan keterbukaan demokrasi, beliau percaya pengundi Inanam cukup matang dalam menilai rekod, kemampuan dan integriti setiap calon.
“Inanam adalah kawasan dunia yang sangat laku, antara yang paling laku di kawasan Sabah.
“Ada 13 calon yang menawarkan diri dan saya salah satu orang, saya nampak sendiri.
“Ini amalan demokrasi yang terbuka kepada semua calon dan parti. Tetapi saya yakin pengundi tidak akan terkeliru.
“Mereka tahu menilai siapa yang benar-benar boleh jalankan tugas,” katanya ketika ditemui media The Malaysia Press selepas merasmikan kedai makan Timbalan Wanita Ketua Cabang PKR Sepanggar, Norhaidah Achmad, pemilik Kedai Makan Ayam Gepuk Cpau di sini, pada Selasa.
Menurutnya lagi, situasi itu hanya akan menguji keupayaan calon untuk meyakinkan rakyat, bukan mengganggu fokus pengundi.
“Biarlah mereka memilih calon yang boleh diyakini untuk membawa perubahan, yang boleh menyentuh rakyat dengan sepenuh hati.
“Ini termasuk integriti, keyakinan dan persediaan seseorang untuk berkhidmat,” katanya.
Peto berkata, bagaimanapun kehadiran terlalu ramai calon juga mencerminkan ketidaktentuan dalam iklim politik negeri, namun keyakinannya terhadap pengundi kekal tinggi kerana mereka sudah melihat prestasi dan usaha wakil rakyat selama ini.
“Walaupun iklim politik sekarang tidak begitu sihat, saya percaya pengundi Inanam cukup bijak. Mereka tahu siapa yang bekerja dan siapa yang tidak,” tambahnya.
Beliau yakin proses pemilihan akan berjalan lancar dan pengundi akhirnya memilih calon yang benar-benar mampu memajukan kawasan tersebut.
“Pemilihan kali ini saya percaya akan membawa keputusan yang baik dan Insya-Allah rakyat akan memilih pemimpin yang boleh memajukan Inanam,” katanya.







