KUANTAN – Biro Kesihatan UMNO Pekan meneruskan program Ziarah Kasih di sekitar Taman Peramu Jaya dan Kampung Bentan, dekat Pekan, hari ini.
Program itu adalah kesinambungan kepada siri program Ziarah Kasih yang dilakukan sebelumnya di kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya.
Pengerusi Biro Kesihatan UMNO Bahagian Pekan, Dr Boi Saidi @ Nas Sayidi Abd Razak berkata, seramai tujuh pesakit kronik disantuni petugas daripada biro itu.
“Kita bukan sahaja melakukan melawat ke rumah pesakit dengan memberikan pemeriksaan kesihatan, dalam masa sama kita juga menyediakan khidmat nasihat kepada mereka.
“Untuk program kali ini, saya dan pasukan Biro Kesihatan UMNO Bahagian Pekan sangat berterima kasih kepada pemimpin setempat yang turut sama membantu kami,” katanya.
![]()
Dr Boi Saidi dalam masa yang sama turut menjelaskan pihaknya memberikan khidmat rundingan kesihatan secara terus kepada penduduk bagi memastikan sesi perkongsian maklumat itu dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
“Melalui kunjungan seperti ini, pesakit lebih rasa selesa untuk memberitahu petugas kami berkaitan masalah kesihatan dihadapi mereka.
“Jadi, suasana lebih santai dan memudahkan petugas biro kesihatan memberikan perkhidmatan rundingan secara profesional dan bersesuaian dengan penyakit dihadapi individu itu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Dr Boi Saidi dan pasukan Biro Kesihatan UMNO Bahagian Pekan mengambil peluang menerusi program Ziarah Kasih dengan menyebarkan maklumat mengenai inisiatif kerajaan Pahang memperkenalkan Kad Kesihatan Kasih Makmur, khusus untuk warga emas mendapatkan perkhidmatan kesihatan di klinik swasta terpilih di negeri ini.







