JAKARTA – Kumpulan pelajar Indonesia akan berdemonstrasi di ibu pejabat polis Jakarta hari ini selepas seorang penunggang motosikal maut dilanggar kenderaan polis semasa pertempuran ganas susulan demonstrasi di luar bangunan parlimen negara itu semalam.
Ketua kesatuan pelajar terbesar Indonesia, Muzammil Ihsan, memberitahu Reuters pelajar akan mengadakan protes menentang keganasan polis pada petang Jumaat dan dia menjangkakan kumpulan pelajar lain akan turut serta.
Terdahulu, dalam siri perhimpunan semalam, kumpulan penunjuk perasaan membantah beberapa isu termasuk gaji penggubal undang-undang, pembiayaan pendidikan dan program makanan sekolah oleh kerajaan.
Apabila tunjuk perasaan itu berlarutan sehingga malam, media tempatan melaporkan bahawa polis antirusuhan melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan meriam air untuk cuba meleraikan orang ramai.
Ketua polis ibu kota, Asep Edi Suheri berkata, sebuah kenderaan perisai polis melanggar dan menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal perkhidmatan e-hailing semasa kekecohan itu.
Persatuan pemandu motosikal berkata, lelaki yang maut itu tidak terbabit dalam protes berkenaan.
“Sebagai ketua polis dan bagi pihak seluruh pasukan, saya ingin menyampaikan permohonan maaf dan ucapan takziah ” katanya dalam satu sidang media malam tadi.
Ketua bahagian profesional dan keselamatan polis Indonesia, Abdul Karim memberitahu tujuh kru kenderaan perisai terbabit dalam nahas itu ditahan dan siasatan sedang dijalankan.
Susulan kematian berkenaan, media tempatan melaporkan sekumpulan yang diketuai penunggang motosikal berdemonstrasi di hadapan ibu pejabat polis antirusuhan sepanjang malam tadi.
Kompas TV melaporkan pegawai tentera dihantar ke bangunan itu untuk menenangkan puluhan peserta demonstrasi.
Bantuan Guaman Jakarta dalam satu hantaran di Instagram, menggesa kerajaan dan polis membebaskan 600 orang yang ditahan semasa tunjuk perasaan berlangsung.





