
KOTA KINABALU – Belanjawan 2026 dilihat menjadi bukti nyata bahawa Sabah kini benar-benar diarusperdanakan dalam pembangunan negara apabila Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM6.9 bilion kepada negeri ini.
Demikian dinyatakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang menyifatkan belanjawan itu sebagai belanjawan progresif yang cukup berhemah dan tidak mengabaikan kepentingan pelbagai masyarakat terutama mereka yang kurang berkemampuan.
“Belanjawan ini yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negara, telah menyediakan peruntukan untuk Sabah berjumlah RM6.9 bilion yang kita percaya akan memberi manfaat besar kepada negeri ini.
“Belanjawan ini bukan sekadar angka, ia adalah hasil daripada kestabilan politik Sabah di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap kepimpinan negeri.
“Sabah kini benar-benar diarusperdanakan dalam pembangunan Malaysia,” kata Hajiji selepas menyaksikan siaran langsung pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jumaat.
Turut hadir, Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong dan pembantu menteri serta pegawai kanan kerajaan negeri.
Dalam Belanjawan itu, Anwar turut mencadangkan peruntukan sebanyak RM765 juta bagi pembinaan talian elektrik ‘Southern Link’ yang akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sabah.
Turut dimasukkan dalam belanjawan ialah kerja-kerja pembaikan infrastruktur yang rosak akibat bencana alam baru-baru ini yang menjejaskan Sabah termasuk IPG Gaya dengan kos sebanyak RM220 juta serta RM39 juta bagi Fasa 2 projek tebatan banjir.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas sokongan berterusan terhadap projek Pan Borneo Sabah dengan peruntukan sebanyak RM1.67 bilion bagi tahun depan.
Beliau juga memuji komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menunaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan memenuhi tuntutan Sabah termasuk dengan menaikkan geran khas interim kepada RM600 juta berbanding RM300 juta pada tahun ini.


