
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri kekal komited menjadikan sektor pertanian sebagai enjin pertumbuhan dan pemacu ekonomi Sabah yang lebih dinamik dan berdaya tahan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sektor itu bukan sahaja penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi negeri, malah memainkan peranan penting dalam menjamin keterjaminan makanan negara.
“Sektor ini menyumbang sebanyak RM12.2 bilion atau 14.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah.
“Maka Kerajaan Negeri memberi keutamaan untuk terus memperkasa bidang ini dengan pendekatan lebih strategik dan inklusif,” katanya.
Beliau berucap sempena Majlis Penutupan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, pada Ahad.
Hajiji berkata, Sabah yang kaya dengan sumber tanah subur dan iklim tropika sesuai untuk pertanian, telah mengambil langkah berani menyokong agenda keterjaminan makanan nasional.
Katanya, penubuhan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah tahun lalu selepas ditutup pada 1981 yang bertujuan memperkasa industri padi tempatan dan meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras kepada 30 peratus menjelang 2026 dan 60 peratus menjelang 2030.
“Langkah ini selaras dengan keutamaan Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri yang memberi perhatian terhadap kepentingan sektor pertanian, khususnya penanaman padi dan pengeluaran beras tempatan,” katanya.
Seiring transformasi sektor agromakanan negara, Hajiji menekankan keperluan penggunaan teknologi moden seperti Internet Kebendaan (IoT) dan pertanian pintar bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran serta menarik minat golongan muda.
Katanya, Sabah kini mempunyai 15 Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang telah menjana lebih RM4.32 juta hasil makanan dengan pengeluaran melebihi 1,494 metrik tan setakat ini.
Beliau turut mengumumkan pelaburan strategik berimpak tinggi pertama dalam sektor Ekonomi Biru iaitu pembangunan pelabuhan pendaratan ikan tuna dan hasil laut dalam bertaraf Kesatuan Eropah di Kota Kinabalu dengan nilai pelaburan mencecah RM360 juta.
Pelabuhan berkenaan dijangka mendaratkan 50,000 tan ikan tuna setahun, dengan potensi menjana nilai ekonomi sehingga RM1.8 bilion setahun, sekali gus meletakkan Sabah sebagai antara pemain utama industri perikanan laut dalam.
Dalam pada itu, beliau menyeru komuniti peladang, penternak dan nelayan agar bersikap terbuka terhadap perubahan dan bersedia meneroka teknologi baharu serta amalan moden dalam pengurusan ladang.
“Kita mahu komuniti ini menjadi pemain yang progresif dan kompetitif.
“Masa depan sektor ini bergantung kepada keupayaan mereka untuk berinovasi dan beradaptasi dengan landskap baharu pertanian moden,” katanya.
Beliau turut berharap sektor ini terus menjadi penyumbang pendapatan rakyat dan tunjang keterjaminan makanan negara.
Turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta barisan kepimpinan negeri dan Persekutuan.





