KEMAMAN – Gagasan Malaysia MADANI perlu diterapkan sejak usia awal bagi melahirkan generasi pelapis yang menghayati nilai-nilai kemasyarakatan dan kepimpinan negara.
Perkara ini ditekankan oleh Siti Nor Amalina Mohd Aris, AJK Komuniti MADANI Kampung Gong Limau, semasa Program Jiwa MADANI anjuran komuniti tersebut di Sekolah Kebangsaan Seri Iman, Chukai, Kemaman.
“Pendedahan awal melalui aktiviti seperti pertandingan mewarna dapat memupuk minat anak-anak terhadap konsep Malaysia MADANI sejak kecil,” ujarnya.
Program tersebut menyaksikan penyertaan 50 pelajar daripada Tabika KEMAS Kampung Gong Limau, prasekolah SK Seri Iman, dan SK Chukai.

Selain pertandingan mewarna bertemakan Malaysia MADANI, program turut menampilkan taklimat mengenai peluasan skop SST oleh Pegawai Penerangan Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Ahmad Nadhir Yob, serta perkongsian tentang keselamatan internet oleh Asmamiza Iskandar dari NADI Command Centre Chukai.
Komuniti MADANI Kg Gong Limau, yang beroperasi di bawah Jabatan Penerangan Daerah Kemaman, aktif menggalakkan pemahaman Malaysia MADANI di peringkat akar umbi.
Program kali ini turut disokong oleh wakil JPKKP Kg Gong Limau, Pejabat Penerangan Daerah Kemaman, dan KEMAS daerah Kemaman.
Tidak ketinggalan, Klinik Ahlan Chukai menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada para hadirin, menambah nilai kemasyarakatan dalam program tersebut.







