
KUANTAN – Pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tegas tidak mahu pelajar terbabit dalam ‘Himpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0’ dikenakan tindakan buang universiti mencerminkan nilai keterbukaan beliau dalam menjunjung prinsip demokrasi serta kebebasan bersuara.
ADUN Semambu, Chan Chun Kuang berkata, pendirian Perdana Menteri itu juga mengimbau kepada asal-usul perjuangan reformasi yang lahir dari jalanan, berlandaskan semangat keberanian menuntut kebenaran dan menolak kezaliman pentadbiran yang menyalahgunakan kuasa.
Ujarnya, tujuan utama perhimpunan itu adalah untuk menyuarakan tentangan terhadap rasuah, satu masalah sekian lama mencengkam sistem pentadbiran negara dan merugikan rakyat.
“Usaha membanteras rasuah apatah lagi yang digerakkan anak muda seharusnya disambut dengan sokongan dan ruang dialog, bukan dengan siasatan, pendakwaan atau tindakan disiplin.
“Sebagai parti lahir daripada gelombang reformasi dan perjuangan jalanan, parti pemerintah hari ini mempunyai kekuatan, kestabilan dan ruang kebijaksanaan menangani perbezaan pandangan dengan cara matang,” katanya dalam kenyataan.

Chun Kuang berkata, perbezaan itu ditangani dengan tidak mengulangi gaya pemerintahan lama yang menindas suara anak muda melalui tekanan dan intimidasi.
“Saya berpendirian siasatan serta pendakwaan terhadap para aktivis mahasiswa yang terlibat dalam perhimpunan awam harus dihentikan serta-merta.
“Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Hasutan 1948 juga wajar dikaji semula dan digubal agar lebih menjamin hak asasi serta kebebasan bersuara rakyat,” ujarnya.







