
MUAR – Tindakan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal mempertikaikan barisan kerajaan negeri berhubung isu pencemaran toksik di laman Facebook beliau malam tadi mengundang kecaman netizen.
Dalam hantaran berbunyi “Exco mana? Pencemaran udara 1. Johor Bahru 2. Kota Tinggi,” itu menimbulkan reaksi kurang senang pembaca apabila rata-rata mereka mempertikaikan sikap wakil rakyat itu kelihatan kurang cakna berikutan tindakan proaktif telah pun diambil sejak insiden itu mula dilaporkan.
Pemilik akaun Facebook bernama Abdul Halim meninggalkan komen “Dah dua hari YB skudai bersama pihak berwajib turun padang.”
Sementara seorang lagi pengguna media sosial bernama Md Aminuddin Muhammad turut memberikan komen berbunyi “Ini sebab dah nak PRK dekat Mahkota bukan? Itu sebab kononnya nak mainkan isu, kononnya Exco tak turun buat kerja. Sudahlah bos, orang dah meluat tengok. Lain kali ikuti Facebook MB dengan Exco tengok mereka buat kerja tak? Ini kalau tak pilihanraya jangan harap nak komen, kononnya nak raih publisiti, (walhal) ini modal kempen pilihanraya, akhirnya kena kecam berjemaah.”
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon secara tenang memberikan respon di ruangan komen apabila menyenaraikan tindakan yang telah diambil Kerajaan Negeri termasuklah penubuhan jawatankuasa khas sejak beberapa hari lalu.
Malah, beliau juga memberikan pautan video Tiktok di ruangan komen berkenaan memaparkan segala aktiviti dan gerak kerja dilakukan oleh pejabat Exco Kesihatan Johor sepanjang isu pencemaran itu dilaporkan.
Dalam hantaran sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Sahrihan Jani meninggalkan komen secara profesional apabila mengatakan pembangkang berperanan sebagai pengimbang berhak menyuarakan segala kekurangan di pihak kerajaan.
“Pengimbang (pembangkang) mahupun kerajaan ada peranan masing-masing bagi membawa negeri ke arah Maju Johor 2030. Menegur tak salah, malah dialu-alukan. Namun, sampaikan berita yang benar itulah yang lebih penting,” komennya.
Minggu lalu, beberapa kawasan di Bandaraya Johor Bahru dilanda pencemaran bau kimia yang mengakibatkan penduduk khususnya di Kampung Melayu Pandan merasa loya dan pening.
Bagaimanapun, insiden itu tidak berlarutan lama apabila pihak berkuasa mengesahkan keadaan kembali stabil keesokan harinya.
Namun, pencemaran kali kedua dikesan lagi Jumaat lalu di Kawasan Industri Desa Tropika, Johor Jaya, manakala pada Isnin, pencemaran terbaharu pula dilaporkan berlaku di Kampung Orang Asli Pasir Intan, Kota Tinggi dan di Sungai Skudai, Skudai, Johor Bahru.
Susulan itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah turun meninjau lokasi kejadian kelmarin dan mengarahkan penubuhan jawatankuasa khas bagi mencari dalang terlibat dalam kejadian ini.
Sebelum itu, Tiang Soon berkata, kerajaan negeri melalui JPBD (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah) Johor Bahru akan mengambil langkah memindahkan sisa kimia tercemar di sungai daripada kawasan perindustrian Tiong Nam ke pusat rawatan dengan kadar segera.
Kejadian pencemaran sisa toksik di Johor sebelum ini dilaporkan secara meluas pada 13 Mac 2019 ketika di bawah pentadbiran Menteri Besar daripada parti Bersatu sehingga mengakibatkan lebih 2,000 orang awam mengalami masalah kesihatan dan 111 buah sekolah di Pasir Gudang ditutup dipercayai susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim.
Bagaimanapun pada tahun lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda maksimum bernilai RM100,000 kepada seorang pemandu lori kerana menyebabkan kejadian pencemaran membabitkan pelupusan haram buangan terjadual di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, di sini.
Sususlan itu, pada Disember 2023, Kerajaan Johor ditadbir Onn Hafiz melalui Exco Perumahan dan Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor bercadang untuk mengemukakan rayuan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) berhubung hukuman pelaku insiden pencemaran yang dilihat tidak berbaloi berbanding kesan terpaksa ditanggung mangsa kejadian sehingga kini.