PUTRAJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, persidangan cawangan UMNO yang bermula hari ini perlu dimanfaatkan sebagai medan memperkukuh perjuangan, memahami cabaran politik semasa dan menyusun langkah bagi memastikan parti itu terus relevan dalam landskap politik yang sentiasa berubah.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ini masanya untuk ahli parti memperkemas gerak kerja, menyuarakan pandangan akar umbi dan memperkukuh saf dengan penuh kebijaksanaan serta kesepaduan.
“Semoga persidangan ini menjadi asas kukuh untuk kita memperteguh perjuangan dan terus memberikan khidmat bakti dengan penuh komitmen serta dedikasi,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Beliau turut mengucapkan selamat bersidang kepada seluruh perwakilan UMNO cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri di seluruh negara bermula hari ini hingga 25 Mei depan.
Pada 12 Mac lalu, mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan tarikh mengadakan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan pada 7 April hingga 25 Mei, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian (9 Jun hingga 27 Julai) dan Perhimpunan Agung UMNO dari 20 hingga 23 Ogos.







