
IPOH – Sekali lagi para penyokong Perak FC dan Johor Darul Ta’azim (JDT) `kempunan’ selepas perlawanan ulangan yang sepatutnya dilangsungkan pada malam ini di Stadium Perak, Ipoh ditangguhkan buat kali kedua ekoran cuaca buruk dan keadaan padang yang tidak memuaskan untuk beraksi.
Susulan itu, pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memutuskan untuk menunda sekali lagi perlawanan itu dengan meminda kepada tarikh dan masa baharu yang akan diumumkan kelak.
Menerusi hantaran akaun Facebook Perak Football Club, pihak Perak FC memohon maaf di atas kesulitan tersebut dan mengingatkan supaya para hadirin yang hadir menyimpan keratan tiket perlawanan pada malam ini untuk ditebus di perlawanan yang akan dijadualkan kemudian.
“Bagi pihak Perak FC, kami sekali lagi memohon maaf di atas kesulitan ini (penangguhan kedua). Keputusan telah dibuat oleh pihak MFL dan jangan lupa menyimpan keratan tiket untuk ditebus pada perlawanan yang akan ditentukan kelak,” kata jurucakap Perak FC pada hantaran tersebut.

Sementara itu, suasana di Stadium Perak menerima sorakan kecewa para penyokong yang hadir selepas diumumkan perlawanan terpaksa ditunda sekali lagi.
Mereka sanggup menunggu dalam tempoh lama meskipun cuaca hujan untuk melihat aksi sepak mula yang sepatutnya dijadualkan bermula pada jam 8.15 malam.
“Mula ditangguhkan pada jam 8.40 malam, dilanjutkan pula ke jam 9.15 malam sehingga diumumkan tunda ke tarikh lain,” ujar salah seorang penyokong Perak FC, Zarith Syahudin Mohd Sani, yang setia menunggu.
Malah rata-rata yang meninggalkan komen di ruangan akaun Facebook Perak FC kecewa dengan pihak pengurusan yang tidak melakukan persediaan awal untuk mempersiapkan padang apabila cuaca hujan selain menyalahkan pasukan JDT ‘manja’ sebab takut air.
Namun ada juga yang menyangkal agar berfikiran positif dan meminta agar pihak pengurusan stadium mengambil tindakan segera untuk memperbaiki keadaan padang yang kurang memuaskan.

“Kalau sudah tunda dua kali, baik JDT tarik diri,” ujar seorang pengguna Facebook menggunakan nama Norazmi.
“Kesian penyokong kena sidai dari pukul 8 malam. Asal hujan minta tunda,” tambah mereka lagi memeriahkan ruangan komen.
Sebelum ini perlawanan tersebut sudah pun ditunda pada Ogos lalu akibat situasi yang sama mirip seperti malam ini.
Pihak polis juga turut siap siaga dalam mengawal keadaan bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku dan sehingga perlawanan ditunda, keadaan terkawal biarpun ramai yang hampa dengan penundaan kali kedua itu.





