
KOTA KINABALU – Sabah bakal mewujudkan Program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tahfiz sebagai langkah proaktif memperkasa dan memperluas pembangunan TVET di negeri ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Arifin Mohd Arif berkata, bagi mencapai hasrat itu, pihaknya akan mengenal pasti dua lokasi yang sesuai untuk mewujudkan pusat berkenaan.
“Kita dan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) akan mengenal pasti dua tempat dahulu, misalnya seperti Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sabah (ITQAS).
“Kita akan bersama-sama berkolaborasi bagaimana kita wujudkan TVET Tahfiz dan beberapa Maahad Tahfiz,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Simposium TVET Sabah 2.0 di Magellan Sutera Habour, di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, TVET sangat penting untuk diperluaskan dalam kalangan masayarakat termasuk diseluruh sekolah di Sabah kerana mampu memberi impak positif terhadap sektor pekerjaan .
Dalam pada itu Arifin turut menyifatkan Simposium TVET sebagai pemangkin semangat untuk terus memperjuangkan TVET sebagai satu keperluan dan bukan pilihan.




