
PEKAN – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah akan menjadi lembaran baharu bagi Pulau Keladi, dekat sini, sebagai destinasi tumpuan peminat kraf serta mengangkat dan memelihara warisan tenun negeri ini.
Baginda bertitah projek pembangunan yang diinspirasikan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ini juga adalah platform terbaik untuk rakyat melihat dan mengenali cara pembuatan tenun.
“Tengku Ampuan Pahang telah berusaha dengat giatnya untuk memberi kesedaran kepada rakyat Pekan dan Pahang supaya kita harus bangga dengan tenunan dari Pekan itu sendiri.
“Lebih menarik lagi, daripada kenyataan ini adalah antara mereka yang sudah pun terlibat secara langsung di Pekan ini, dengan usaha Tengku Ampuan ia telah melibatkan banduan dari Penor, Bentong supaya mereka dapat peluang hidup semula bila keluar dari ‘resort’ (penjara),” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian semasa merasmikan Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah di Pulau Keladi, malam tadi.
Turut berangkat Tunku Azizah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, lapor Bernama.
Baginda bertitah perkampungan kraf Diraja akan menjadi pembuka mata untuk kawasan ini sebagai satu destinasi pelancongan dan menzahirkan harapan agar kemudahan yang ada di sini dapat diuruskan dengan sebaiknya oleh pihak berkaitan.