
KETUA Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop menyifatkan perang persepsi yang dicetuskan oleh disinformasi sebagai medan tempur yang amat getir, sekali gus boleh mengancam ketahanan demokrasi negara.
Menurut Ismail, sindrom kesangsian dalam kalangan rakyat berpunca daripada dominasi media sosial yang mendominasi pendemokrasian maklumat sehingga mencetuskan ketidakpastian dalam kerangka pemikiran masyarakat.
“Maknanya faktor yang menyebabkan timbul itu ialah kesangsian. Orang jadi kita guna istilah ketidakpastian atau ‘uncertainties’. Boleh percaya ke, boleh harap ke, boleh pakai ke.
“Dan keraguan itu bermula kerana kerangka pemikiran kita sudah jadi kacau-bilau akibat daripada dominasi apa yang kita sebut liberalisasi maklumat ataupun pendemokrasian maklumat. Yang mendominasi pendemokrasian maklumat ini adalah media sosial,” katanya dalam podcast Minda Tok Abah pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, cabaran disinformasi kini semakin serius berbanding dahulu kerana ia dilakukan secara terancang untuk memanipulasi maklumat.
“Kalau dulu kita sebut ‘the manufactured truth’, kebenaran yang dipalsukan ataupun maklumat yang dimanipulasi. Tapi mutakhir ini bila kita lihat apa yang sedang berlaku, bukan saja dalam konteks kita, tapi ini satu fenomena global yang disebut disinformasi.
“Bila sebut disinformasi ini, kalau misinformation itu maknanya salah faham, bila kita sebut disinformasi ini, maklumat itu dimanipulasi hingga menyebabkan timbul salah faham itu,” jelasnya.
Ismail turut mengingatkan bahawa kelewatan kerajaan menyampaikan maklumat sebenar akan menyebabkan pemikiran rakyat didominasi oleh persepsi yang dibentuk melalui maklumat tidak sahih.
“Dominasi media sosial itu menyebabkan kalau kita lewat dalam memastikan maklumat yang sebenarnya sampai, maka yang akan mendominasi kerangka pemikiran rakyat adalah persepsi,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan, JKOM bersedia menjadi barisan hadapan dalam menangkis disinformasi dan memastikan maklumat sahih sampai kepada rakyat secara pantas, tepat dan berkesan.
“‘The battle of what we call’ perang persepsi adalah medan tempur yang sangat getir sebenarnya bagi siapa juga, khususnya untuk JKOM kerana kita berada di barisan hadapan untuk mendepani isu ini,” katanya.





