
KABONG – Penyertaan golongan belia dalam Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kabong perlu diperkasa bagi menjamin kesinambungan perkhidmatan sukarela yang lebih mampan dan berdaya tahan pada masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir menegaskan, penglibatan generasi muda amat penting memandangkan peranan pasukan tersebut semakin mencabar dalam menghadapi pelbagai situasi kecemasan di peringkat komuniti.
Menurut beliau, PBS Kabong tidak seharusnya hanya bergantung kepada keanggotaan sedia ada, sebaliknya perlu melahirkan lebih ramai ahli baharu khususnya dalam kalangan belia bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan tersebut.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri serta simbolik penyerahan peralatan kepada PBS Kabong, di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan PBS Kabong sebagai antara pasukan paling aktif di Sarawak yang sentiasa komited dalam membantu masyarakat setempat.
Sehubungan itu, Chee Kadir turut mencadangkan agar sebuah pusat operasi khusus diwujudkan bagi memastikan pengurusan pasukan lebih tersusun, di samping menggesa pihak ibu pejabat bomba meneliti keperluan semasa pasukan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Penghulu Rahman @ Dom Kapok atas komitmen dan dedikasi sebagai penggerak utama pasukan sehingga mendapat pengiktirafan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak baru-baru ini.
Sebagai wakil rakyat, beliau menegaskan akan terus komited menyokong usaha memperkasa pasukan bomba sukarela demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan komuniti.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan pelbagai peralatan bagi memperkukuh keupayaan operasi PBS Kabong, termasuk pakaian perlindungan serangga berbisa, penyepit ular, pakaian rasmi, topi, jaket keselamatan, mesin gergaji, bot serta enjin bot.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kabong, Tahir Mohd Sharee; Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban, Steve Miller; Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Zon 3 Sri Aman, Rais Adaham Rasalan; Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Saratok, Putra Ila; serta Pegawai Kebajikan Daerah Kabong, Juhayati Dahlan.





