TAWAU – Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) berperanan penting menangkis sebarang penyebaran fitnah di media sosial demi perpaduan dan kesejahteraan komuniti.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, KRT yang bertindak sebagai agen penyatuan perlu menyebarkan perkara yang sahih bagi mengukuhkan perpaduan dalam kawasan kejiranan.
Katanya, kemajuan teknologi kini menyebabkan orang ramai tertumpu dan mudah mempercayai sebarang isi kandungan yang dikongsikan melalui plaform media sosial.
“Sebab itu sebelum kita percaya atas satu berita atau perkara, kita perlu berhati-hati serta periksa dan jangan pula kita menjadi ejen untuk menyebarkan perkara-perkara yang tidak betul itu kepada orang lain.
“Hal itu pada akhirnya akan menimbulkan kegusaran dan seterusnya akan merosakkan perpaduan di kawasan kita,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Gerak Rahmah Jom Masak Bubur Lambuk di pekarangan pejabat Lembaga Kebudayaan Tawau, pada Sabtu.
Mengulas program berkenaan, Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, aktiviti itu memperkasa kemasyarakatan dan kesukarelawan dalam komuniti.
Seramai 10 jawatankuasa KRT di seluruh Tawau bergotong-royong memasak bubur lambuk dan mengagihkan lebih 1,000 bekas bubur berkenaan kepada warga Tawau.





