KUALA PERLIS – Modus operandi penyeludup kini semakin licik apabila menggunakan sampan kecil yang mudah disorok di celah pulau atau muara sungai bagi mengaburi pihak berkuasa.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, taktik itu terbongkar selepas pihaknya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 32 tong minyak diesel bersubsidi di perairan Pulau Ketam semalam.
Katanya, kejayaan itu hasil risikan dan rondaan rapi pasukan Maritim Malaysia menerusi OP Aman dan OP Tiris 3.0 di kedudukan 0.06 batu nautika dari selatan Pulau Ketam.
“Pasukan rondaan mengesan sebuah sampan kayu tanpa nombor pendaftaran bersama enjin bergalah yang bergerak perlahan dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 10 malam.
“Sebaik dihampiri, sampan itu ditinggalkan tanpa pemilik, dipercayai melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa yang menghidu pergerakan mereka,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemui 32 tong minyak diesel dianggarkan berjumlah 960 liter yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand menggunakan laluan laut yang kerap digunakan nelayan kecil.
Tambahnya, hasil rampasan dianggarkan bernilai hampir RM18,000 itu dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.
Katanya, pihak Maritim Malaysia komited mempertingkat rondaan di kawasan perairan Perlis bagi mengekang kegiatan tersebut.
“Kes disiasat di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 (Pindaan 2021) dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujarnya.







